Oleh Osman Jailani
Genap sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada 18 Mac.
Sejak pengumuman tersebut oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat Malaysia telah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha kita bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Melihat kepada status kes baharu sekarang serta kes aktif, ternyata PKP memberi impak positif kepada usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan ini.
Namun harus diingat disini, walaupun tumpuan terarah kepada perang melawan Covid-19, ekonomi negara juga tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja.
Saya telah melihat sendiri pandangan beberapa pakar ekonomi tentang bagaimana perang terhadap Covid-19 perlu diseimbangkan dengan usaha untuk merancakkan ekonomi.
Ini kerana ketika ini, rata-rate peniaga dan pengusaha berdepan krisis permintaan yang amat teruk sejak PKP dimulakan.
Walaupun wujud khidmat penghantaran ke rumah, ia tidak dapat mengganti jumlah permintaan sebelum penularan Covid-19 bermula.
Oleh itu, wajar untuk satu sistem komprehensif dirangka bagi memastikan bukan sahaja sektor-sektor perniagaan dibuka secara berperingkat, tetapi dibuka selari dengan perang kita melawan Covid-19.
Usaha merancakkan ekonomi tidak boleh dipandang enteng kerana jika PKP ini diteruskan sehingga 1 atau 2 bulan lagi, rakyat yang terlibat dalam perniagaan akan mengalami krisis duit poket yang amat ketara.
Saya berharap agar rangkaian jangkitan dapat diputuskan agak kita sebagai rakyat Malaysia boleh kembali ke rutin sebelum ini.