Artikel

Persidangan Parlimen Hanya Satu Hari Sahaja, Iaitu Pada 18 Mei

Dewan Rakyat akan bersidang hanya sehari, iaitu pada 18 Mei ini.

Ahli-ahli Parlimen akan bermesyuarat buat pertama kalinya setelah bertukar kerajaan pada tahun ini pada tanggal itu.

Notis persidangan sehari itu dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat kepada semua Ahli Parlimen pada petang Jumaat (17 April) melalui sebuah hantaran e-mel.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan bertitah pada pembukaan parlimen pada 10 pagi, 18 Mei.

Hanya perkara berkaitan COVID-19 sahaja dibenarkan bersidang pada 18 Mei ini, menurut sekreteriat Dewan Rakyat.

Tarikh 18 Mei ini adalah lanjutan dari tarikh awal 9 Mac seperti ditetapkan sebelum ini, tetapi ditunda susulan kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk kuasa negara akibat pembubaran pentadbiran Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan bahawa parlimen tetap akan bersidang 18 Mei ini untuk memastikan isu berkaitan COVID-19 dibincang di parlimen.