Artikel

[RENCANA] Apakah Nasib Pendidikan Anak-Anak Kita?

Setelah hampir sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat, perbincangan sudah tidak berkisar sekitar bagaimana kita hidup dalam tempoh ini tetapi bagaimana kita integrasikan cabaran ini dalam kebiasaan baharu atau ‘new normal’ kehidupan ketika ini.

Terbaharu kita mendapat maklumat bahawa beberapa peperiksaan utama dibatalkan atau ditunda kerana penularan wabak COVID-19 ini.Ia termasuk UPSR, PT3, SPM dan STPM.

Ini menjadikan pendidikan atas talian atau pendidikan di rumah lebih penting dalam keadaan ini kerana kita tidak mampu untuk menghentikan proses pembelajaran anak-anak kita ketika pandemik ini.

Namun, apa yang saya ingin tekankan adalah keterbatasan pendidikan atas talian terhadap pelbagai segmen pelajar yang ada di negara kita.

Apabila berbincang tentang pendidikan atas talian, perkara utama yang menjadi ukuran adalah Internet.

Walau bagaimanapun, ada perbezaan besar antara mempunyai akses internet dan mempunyai akses kepada penstriman yang berkualiti.

Ini kerana hanya mempunyai akses kepada internet tidak menjanjikan kualiti penstriman yang baik dan sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Bukan ini sahaja kekangan yang dihadapi pelajar dan ibu bapa. Jika melihat kepada kaji selidik yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan, sebanyak 36.9 peratus murid di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik.

Daripada dapatan itu juga, hanya enam peratus murid mempunyai komputer peribadi, tablet (5.67 peratus), komputer riba (9 peratus) dan telefon pintar (46 peratus).

Kaji selidik ini difahamkan melibatkan 670,000 ibu bapa dengan jumlah 900,000 murid.

Oleh itu, sistem baharu perlu dirangka bagi memastikan jurang antara kelas dalam masyarakat tidak melebar dan memberi komplikasi kepada proses pembelajaran anak-anak kita.

Selain daripada pelaburan terhadap infrastruktur internet, Kerajaan juga harus memikirkan kaedah penilaian dan modul baharu bagi memastikan pendidikan anak-anak kita tidak terjejas walaupun kita sedang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.