Artikel

Cradle Yakin Platform CGP Mampu Bantu Syarikat Tangani Krisis COVID-19

Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), hari ini (17 April) mengumumkan sebanyak 60 syarikat telah terpilih bagi Program Coach and Grow (CGP), untuk pengambilan pertama musim kelima 2020.

Hampir 60% proses penilaian dilakukan melalui dalam talian. Ini kerana negara kini sedang melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April.

Musim kelima CGP ini telah dilancarkan sejak Mac lalu bagi menyokong ekosistem inovasi yang berkembang pesat di negara ini. Program ini memfokuskan kepada asas-asas perniagaan – menyediakan teknik perkongsian ilmu dari usahawan, pelabur dan profesional korporat.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Razif Abdul Aziz berkata, platform ini tiba pada saat yang tepat di mana perniagaan kini melihat ke arah kelangsungan hidup dan menguruskan kesan Covid-19.

CGP sebelum ini memiliki rekod prestasi yang baik dalam memastikan peserta syarikat dapat membina strategi yang berdaya saing. Rekod ini mampu dicapai sewaktu mengharungi krisis COVID-19.

Antara sokongan yang diberikan adalah latihan secara individu oleh mentor yang berdedikasi selama 12 bulan.

Setakat ini, syarikat yang lulus dari CGP telah berjaya menghasilkan pendapatan lebih dari RM2.8 billion, hasil eksport lebih dari RM310 juta dan berjaya mengumpulkan dana lebih dari RM436 juta.

Kebanyakan peserta memiliki latarbelakang bidang seperti kewangan, teknologi kesihatan, PropTech, media teknologi, perkhidmatan digital dan e-dagang.

Platform CGP juga turut bekerjasama dengan rakan ekosistem lain seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), SME Corporation Malaysia, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Malaysian Business Angels Network (MBAN) dan rakan platform biayasama (crowdfunding) seperti PitchIn, ATA Plus.