Meskipun sektor tanaman padi antara yang dibenarkan beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, namun para pesawah menjangkakan penanaman padi pada tahun ini hanya dapat dilakukan sekali sahaja.
Menurut laporan Berita Harian, ini adalah kenyataan daripada pesawah negeri Kedah. Selain penularan COVID-19 yang menyukarkan operasi gerak kerja mereka, musim kemarau juga antara punca mengapa operasi penanaman padi ini tergendala.
Susulan musim kemarau lalu, hasil tanaman padi pesawah telah merosot, di mana mereka sekadar meraih kira-kira RM14,000 daripada sawah seluas 4.9 hektar sahaja.
Sekiranya situasi ini berterusan, maka tidak mustahil penanaman padi hanya mampu dilakukan sekali sahaja bagi tahun 2020.
Rata-rata pesawah kini sedang berusaha melakukan persediaan penanaman padi baharu dan membersih serta membajak petak sawah padi.
Bagaimanapun, kekurangan traktor dalam membantu proses membajak petak sawah turut menyukarkan penanaman padi dijalankan.
Setakat ini, para pesawah telah memperolehi bantuan daripada Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA). Selain membantu pesawah yang terjejas, MADA turut membantu membekalkan sistem pengairan yang baik kepada kawasan padi.