Mulai hari ini (16 April), Rapid Rail Sdn Bhd mengumumkan penutupan sementara untuk kesemua pintu keluar atau masuk di Plaza Stesen LRT Masjid Jamek (bersebelahan OCBC Bank dan Bank Muamalat).
Penutupan sementara ini akan berkuat kuasa pada 16 April sehingga 28 April 2020.
Tindakan ini adalah berikutan dari perluasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Masjid India.
Bagamaimanapun, pintu keluar atau masuk Stesen LRT Masjid Jamek yang terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek itu masih lagi dibuka dan perkhidmatan LRT akan beroperasi mengikut waktu operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya atau Laluan Ampang/ Sri Petaling hanya boleh membuat penukaran tren sahaja di Plaza Stesen LRT Masjid Jamek. Manakala bagi pengguna yang ingin ke atau dari arah Sentul Timur, mereka dinasihatkan untuk mengguna terowong sambungan di stesen tersebut bagi membuat penukaran serta untuk keluar atau masuk melalui bahagian stesen (bersebelahan Masjid Jamek) yang tidak ditutup.
Pegawai Khidmat Pelanggan dan Polis Bantuan juga akan ditempatkan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Langkah ini diambil bagi membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan pergerakan orang awam yang tidak sepatutnya ke sekitar kawasan terlibat.
Orang awam diingatkan untuk menjaga jarak sosial yang telah ditetapkan serta merancang perjalanan mereka berikutan penutupan sementara ini.
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan Rel Rapid KL, layari akaun media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585.