Apple hari ini membuat kejutan dan telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iPhone SE. Bagi anda yang sering mengikuti perkembangan dunia gajet, mungkin sedia maklum akan berkenaan dengan pembangunan telefon pintar terbaru ini. Tetapi, ia mungkin agak mengejutkan ramai apabila Apple masih meneruskan pelancaran telefon pintar ketika dunia memfokuskan kepada penularan wabak Covid-19 yang memberikan impak dari segi ekonomi dan juga pembelian oleh pengguna.
Sebelum itu, mari kita lihat terlebih dahulu pada telefon pintar ini. Desas-desus sebelum ini mengatakan iPhone baru akan dikenali dengan nama iPhone 9, tetapi Apple dilihat menggunakan nama iPhone SE.
Ramai sebelum ini menyasarkan ia mungkin dinamakan iPhone 9 kerana ia hanya menawarkan penaik-tarafan dari segi spesifikasi, tetapi menawarkan rekaan seumpama iPhone 8. Penggunaan angka “9” juga akan menimbulkan kekeliruan kepada pengguna apabila iPhone 11 sedang giat dipasarkan sebagai telefon berkuasa oleh Apple.
Dari segi konsep penjenamaan, ia lebih masuk akal, sekaligus memudahkan pengguna memahami keluarga “SE” yang sedia wujud sebelum ini dengan fokus kepada penawaran pada harga lebih mesra poket.
iPhone SE (2020) hadir dengan skrin bersaiz 4.7-inci, dilengkapi cip terbaru Apple A13 Bionic, kamera utama 12-megapixel, dan dilengkapi sokongan kalis air. Apple meneruskan penggunaan Touch ID sebagai pengimbas cap jari untuk sekuriti berbanding dengan penggunaan pengimbas wajah pada iPhone baru. Di Malaysia, ia ditawarkan pada harga bermula RM1999 – yang mana boleh dikatakan bakal mencabar pelbagai telefon pintar lain.
Selain penjenamaan, iPhone SE juga mempunyai fokus tersendiri. Ia tidak dikemaskini dengan kerap pada setiap tahun. Model iPhone SE sebelum ini telah diperkenalkan pada Mac 2016 yang lepas dan versi terbaru ini hanya hadir selepas tempoh 4 tahun. Pelancaran Apple dibawah jenama iPhone SE ini sekaligus memperlihatkan ia ditujukan kepada mereka yang jarang naik-taraf telefon pintar, selain kepada mereka yang inginkan peranti bersaiz kompak.
Pada masa yang sama, dengan harga bermula RM1999, telefon pintar ini juga akan menjadi pilihan ramai pengguna platform lain untuk terjun ke ekosistem Apple. Hal ini sekaligus akan memberikan cabaran yang lebih serius terhadap pengeluar peranti lain seperti Samsung, Huawei dan Oppo yang kini menjual peranti pada harga mencapai angka RM4,000.
Malah, dengan penawaran kandungan seperti Apple TV+, Apple Arcade dan Apple Music, ia mungkin membuatkan pengguna baru kelak akan terikat dengan ekosistem Apple, dan terus membawa kepada pendapatan tambahan untuk Apple. iPhone SE mungkin menjadi pintu untuk orang ramai ke ekosistem Apple ini.
Menyentuh kembali kepada pelancaran ketika keadaan ekonomi kurang menentu kini, ia mungkin sedikit mencabar untuk Apple sendiri. Pelbagai pengeluar telah hadir dengan produk mereka yang terbaru, dan ini mungkin tidak mengejutkan ramai pengguna awam. Salah satu sebabnya mungkin adalah dalam usaha mengurangkan impak rantaian bekalan pada peringkat pengeluaran – sekaligus mengelak produk lain tertangguh.
Selain mengurangkan impak rantaian-bekalan, memandangkan iPhone SE dikemaskini selepas beberapa tahun, maka jangka hayat produk ini adalah lebih lama berbanding telefon-telefon lain. Walaupun pembeli dan pasaran yang dituju mungkin adalah B40 atau M40 yang lebih selesa melihat secara fizikal terlebih dahulu, pengumuman ini mungkin membuatkan mereka menangguhkan pembelian sebarang peranti jenama lain, dan akan berusaha mendapatkan iPhone SE ini selepas penularan wabak ini berakhir.
Memandangkan iPhone SE dikemaskini selepas tempoh beberapa tahun, maka ia mungkin masih kekal relevan pada waktu ketika itu, dan masih menjadi pilihan ramai pengguna – termasuk yang ingin memasuki arena ekosistem Apple.