Artikel

UPSR, PT3 Bagi Tahun 2020 Kini Dibatalkan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini (15 April) memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 kini dibatalkan.

Tindakan ini susulan daripada perkembangan semasa dan atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) disebabkan krisis COVID-19.

Selain UPSR dan PT3, peperiksaan SPM, STAM dan SVM juga akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

Seterusnya, menerusi perbincangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – mereka telah bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021, manakala program ijazah pula pada September atau Oktober 2021.

Keputusan ini akan berkuat kuasa kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar di bawah KPM. Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini.