Artikel

KKM Mengalukan Sumbangan PPE Kepada Petugas Barisan Hadapan

Seperti diketahui umum, isu berkaitan kekurangan PPE adalah isu global di mana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Di fasiliti KKM juga, didapati penggunaan PPE telah meningkat secara mendadak susulan pandemik COVID-19 ini.

KKM hari ini (14 April) memaklumkan status terkini PPE atau Personal Protective Equipment bagi kegunaan petugas kesihatan dalam pengendalian kes COVID-19.

Terdapat beberapa jenis PPE yang digunakan oleh petugas kesihatan, misalnya:

  • Footwear/boot cover – baki stok 78 hari
  • Protective head cover – baki stok 52 hari;
  • Alat penutup hidung dan mulut jenis 3-ply mask – baki stok 47 hari;
  • Alat penutup hidung dan mulut jenis surgical N-95 mask – baki stok 37 hari
  • Disposable Face Shield (eye visor, face shield or googles) – baki stok 25 hari
  • Disposable Fluid Resistant Apron (Long Sleeves With Cuff) – baki stok 23 hari
  • Jumpsuit/ Protective Coverall – baki stok 19 hari
  • Gaun plastik biasa, dan lain-lain jenis PPE

Bagi memastikan stok PPE adalah berterusan, KKM telah dan sedang terus menjalankan proses perolehan PPE secara pembelian pukal di peringkat pusat dan peringkat negeri. KKM juga
bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi pusat bagi memastikan isu berkaitan stok ini dapat diberi perhatian khusus.

Sumbangan PPE oleh pelbagai pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan para dermawan terus dialukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka.

Bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE di setiap negeri, KKM telah menggunakan sistem pelaporan dan pengkalan data atas talian yang mudah, di mana ianya dikendalikan oleh Pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) (termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah masing-masing PKD).

Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri telah dimaklumkan bagi membantu orang umum dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE. Semakan segera dan tindakan mobilisasi akan dilakukan mengikut keperluan dan keutamaan.

Adalah dimaklumkan juga bahawa setiap jenis PPE perlu dipakai mengikut keperluan di mana petugas kesihatan bertugas, iaitu sepertimana dinyatakan di dalam Garis Panduan Pengurusan
COVID-19 di Malaysia No.5/2020 (Annex 8: The Infection Prevention And Control (IPC) Measures).

Bukan semua petugas kesihatan perlu memakai ke semua jenis PPE pada masa mereka bertugas. Ini amat penting bagi memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan KKM.

Pihak KKM juga turut menyarankan penggunaan PPE cermat dan berhemah oleh semua petugas kesihatan memandangkan ia digunakan secara berterusan.