Artikel

Kes Aktif COVID-19 Diramalkan Akan Susut Ke 2,033 Kes Menjelang 14 April – DG Hisham

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meramalkan kes aktif COVID-19 akan susut ke ‘lebih kurang’ 2,033 kes menjelang 14 April ini, dari 2,462 kes yang dicatatkan pada 11 April.

Kes aktif adalah jumlah hakiki pesakit yang sedang dirawat di hospital pada hari yang disebutkan itu. Contohnya, pada hari Sabtu 11 April, terdapat 2,462 pesakit yang berada di hospital kerana masih sedang dirawat COVID-19.

Kes aktif dihitung berdasarkan perbezaan di antara jumlah kumulatif kes kemasuk (ke hospital) dengan jumlah kumulatif kes discaj (keluar dari hospital).

 

Sehingga kini, kes aktif adalah sekitar 2,500 kes sejak beberapa hari ini. Namun demikian, kadar kemasukan harian, iaitu kadar kes positif harian telah berkurangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Oleh itu, KKM bertindak untuk mengumumkan bahawa berdasarkan unjuran mereka, kes aktif akan berkurangan.

“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,462 kes,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di sidang media pada petang 11 April.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Mengikut trajektori unjuran KKM, pada 14 April 2020 iaitu apabila tamatnya fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unjuran kes-kes positif dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes.

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti.

“Oleh itu, KKM menasihatkan orang ramai untuk terus membantu Kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-10 dengan kekal duduk di rumah, mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter dan kerap mencuci tangan,” tambah beliau lagi.