Artikel

Kedai Gunting Rambut Antara Sektor Yang Dibenarkan Beroperasi Semula

Susulan pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam mengimbangi kelangsungan ekonomi negara dan keberkesanan PKP dengan membenarkan sektor-sektor ekonomi yang kritikal untuk beroperasi dengan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langkah ini adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara, mengelakkan kehilangan pekerjaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia selain memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta Kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengenalpasti dan memperhalusi sektor-sektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi.

Seterusnya, satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi membentangkan cadangan berkenaan sektor ekonomi yang terlibat.

MITI telah memperhalusi sektor-sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi berdasarkan kriteria berikut:

  • Tahap kepentingannya di dalam rantaian bekalan global (global value chain atau GVC) dan eksport negara. Langkah ini adalah untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport
  • Aktiviti ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah (value-added multiplier) yang tinggi
  • Impak ke atas kelangsungan PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan
  • Jumlah tenaga kerja yang terlibat.

Pihak syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi WAJIB mematuhi syarat-syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan.

Berikutan keputusan ini, syarikat-syarikat di dalam sektor-sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula hari Isnin, 13 April 2020, dari jam 9.00 pagi. Semua permohonan mestilah dibuat secara atas talian di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my.


Ini adalah senarai sektor ekonomi yang terlibat:

  • Industri Automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan)
  • Industri Mesin dan peralatan
  • Industri Aeroangkasa
  • Projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan
    (i) Projek di mana Kontraktor G1–G2 sebagai kontraktor utama
    (ii) Projek yang telah disahkan mencapai kemajuan fizikal 90% ke atas
    (iii) Kerja-kerja terowong
    (iv) Kerja-kerja penyelenggaraan
    (v) Kerja-kerja cerun
    (vi) Kerja-kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak
    (vii) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air
    bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan
    pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak
    (viii) Kerja-kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan
    bahaya
    (ix) Projek bangunan dengan 70 IBS score ke atas
    (x) Projek pembinaan dengan fasiliti/ kemudahan tempat tinggal untuk pekerja
    seperti Kuarters Pekerja Berpusat atau kem pekerja
    (xi) Perkhidmatan profesional yang terlibat dalam industri pembinaan termasuk
    arkitek, jurutera perancang bandar, juru-ukur tanah, juru ukur bahan,
    pengurus projek, pengurus fasiliti dan lain-lain berkaitan.
  • Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) (hanya terhad kepada: perkhidmatan berkaitan guaman; perkhidmatan berkaitan minyak & gas; aktiviti-aktviti R&D berkaitan COVID19; makmal-makmal ujian bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja.
  • Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada registered Traditional and Complementary Medicine or TCM practitioners)
  • Perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan
  • Perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja)
  • Perkhidmatan dobi (full service dan bukan layan diri)