Artikel

Bedah Siasat Jumpai Virus Pada Permukaan Badan Mayat, Tayamum Pada Beg Mayat Adalah Langkah Tepat

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa cara pengurusan mayat bagi jenazah Muslim yang dibuat sebelum ini adalah langkah tepat.

Buat sekarang, cara pengurusan mayat adalah melakukan tayamum pada beg mayat/jenazah. Tiada apa-apa pengurusan dilakukan terhadap badan mayat itu sendiri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Institut Perubatan Forensik Negara telah menjalankan satu bedah siasat terhadap satu mayat kes COVID-19. Bedah siasat dijalankan. di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.

Penemuan bedah siasat mendapati terdapat virus COVID-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Penemuan baru ini adalah selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh KKM sebelum ini dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 15 Mac 2020 serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac 2020.

Tatacara tersebut merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat.