Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 10 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

10 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 222 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,830 kes (42.11) peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 10 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 118 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,346 kes.

Sehingga kini, seramai 69 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 40 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat tiga (3) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 70 kes (1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-68 (kes ke-694) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 daripada kluster Seri Petaling (kes ke-159). Beliau telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 8.21 pagi.

 

  • Kes kematian ke-69 (kes ke-4229) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 4.00 pagi.

 

  • Kes kematian ke-70 (kes ke-4230) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia.
    Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1684). Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 2.38 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

STATUS TERKINI SELEPAS PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD)

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order) mula dilaksanakan di beberapa lokasi yang berisiko
tinggi misalnya Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang yang merupakan lokasi pertama berkuatkuasanya PKPD, iaitu pada 27 Mac 2020.

Sebanyak 1,634 ujian saringan COVID-19 telah dijalankan, di mana 138 kes didapati adalah positif COVID-19 dan 1,496 adalah negatif. Adalah dimaklumkan bahawa 79 kes positif telah dikesan sebelum PKPD manakala selebih 59 kes positif telah dikesan selepas PKPD dikuatkuasakan. Terdapat (3) kes kematian COVID-19 dari kawasan ini (iaitu kes ke-1114, kes ke-1251, dan kes ke-2627).

Kawasan sekitar Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid telah dikenalpasti (Buffer Zone) iaitu meliputi Kampung Dato Ibrahim Majid, Kampung Parit Penghulu, Kampung Parit Salleh dan Taman Seri Bayu yang dianggarkan mempunyai penduduk seramai 1,800 orang. Pengesanan kes secara aktif (ACD) telah dilaksanakan ke atas sekitar 1,500 orang dengan 359 orang daripada mereka telah menjalani saringan sampel berdasarkan penilaian risiko. 13 Kes didapati positif, 88 kes negatif dan 258 kes dalam proses ujian makmal.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa tempoh PKPD, termasuk bancian penduduk, Active Case Detection (ACD) rumah ke rumah, pengambilan sampel, aktiviti disinfeksi berkaitan dan promosi kesihatan. Bagi kes yang disahkan positif COVID-19, pesakit akan dikuarantin di Pusat Kuarantin Latihan JAKOA Kluang.

PELANJUTAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

KKM menyambut baik pelanjutan dua (2) minggu Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebentar tadi. Ini akan memberi ruang kepada Kerajaan untuk memerangi penularan COVID-19 ini, sebelum kita dapat menilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan COVID-19.

Berdasarkan situasi terkini COVID-19 di Malaysia, didapati pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat membantu KKM dalam membendung penularan penyakit ini kepada satu tahap yang sedikit stabil. Ini dapat diperhatikan daripada trend kes COVID-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian yang telah dijalankan oleh KKM.

Namun begitu, ianya masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. Malahan ianya perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan ini melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu.

Ini adalah wajar, sepertimana yang disebut sendiri oleh Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 25 Mac 2020 iaitu tindakan agresif seperti melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan COVID-19.

Dr Tedros turut mengingatkan bahawa tindakan untuk menamatkan Perintah ini dengan terlalu awal boleh mengakibatkan penularan semula COVID-19 di sesebuah negara. Dikhuatiri, kes penularan COVID-19 mungkin akan rancak kembali berlaku di kalangan masyarakat. Orang ramai akan terus dijangkiti, warga emas dan golongan berisiko tinggi akan terkesan dan kapasiti sistem kesihatan akan semakin tipis untuk melawan gelombang yang mungkin lebih besar daripada apa yang dilihat kini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa dengan kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun serta sentiasa amalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurangkurangnya 1 meter dari orang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

10 April 2020 @ 5.00 petang