Artikel

Jualan Pasaran Borong, Runcit Catat RM109 Bilion Bagi Bulan Februari – Jabatan Perangkaan Malaysia

Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini (10 April) mengatakan jumlah jualan Malaysia bagi perdagangan borong dan runcit meningkat 5.3% kepada RM109 bilion pada Februari, disumbangkan terutamanya oleh subsektor runcit.

Ini lebih rendah daripada pertumbuhan tahun ke tahun 6.5% yang dicatatkan pada Februari 2019.

Menerusi laporan The Edge, jualan perdagangan runcit telah meningkat sebanyak 6.3% pada Februari manakala perdagangan borong pula meningkat sebanyak 4.9%. Nilai jualan untuk kenderaan bermotor juga berkembang kepada 3.5%.

Manakala, data bulan ke bulan pula menunjukkan nilai jualan mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 5.1%.

Menurut Ketua Statistik Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin pertumbuhan negatif ini disumbangkan oleh semua sub-sektor, iaitu kenderaan bermotor, perdagangan borong dan perdagangan runcit masing-masing sebanyak 9.4%, 5.4% dan 3.4%.

Dari segi jumlah dagangan, perdagangan borong dan runcit berkembang 5.4% tahun ke tahun, didorong oleh perdagangan runcit, yang berkembang 6.4%, diikuti oleh perdagangan borong (4.9%) dan kenderaan bermotor (3.6%).

Berdasarkan indeks, terdapat pertumbuhan negatif -0.6% berbanding pertumbuhan 0.5% pada bulan Januari lalu.