Artikel

BSN Terangkan Bagaimana Cara Memohon Pinjaman 0% Faedah Ini

Susulan pengumuman kerajaan untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari 2% kepada 0%, bank itu kini tampil untuk menerangkan bagaimana cara untuk memohon pinjaman dari mereka.

BSN berkata amaun pembiayaan maksimum adalah sejumlah RM75,000 bagi setiap usahawan.

Tempoh pinjaman/pembiayaan antara 1 hingga 5.5 tahun kepada semua usahawan mikro dalam pelbagai bahagian.

Kelayakan untuk memohon BSN Micro/i Kredit Prihatin adalah seperti berikut:

1) Usahawan mikro yang perniagaan mereka terjejas akibat wabak COVID-19 2) Perusahaan Mikro – Milikan Tunggal / Perkongsian / Syarikat Sdn. Bhd
3) Dimiliki oleh warganegara Malaysia
4) Perniagaan yang dijalankan secara sepenuh atau separuh masa
5) Perniagaan telah beroperasi tidak kurang dari 6 bulan.

Sementara itu, berikut adalah langkah-langkah bagi membuat permohonan BSN Micro/i Kredit Prihatin:

1) Sila lawati Facebook BSN Malaysia untuk menyemak senarai maklumat Pegawai BSN yang berhampiran anda untuk dihubungi.
2) Semak dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan:
a. Sijil Pendaftaran Syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
b. Salinan Kad Pengenalan semua Pengarah / Pemilik Tunggal / Rakan Kongsi c. Penyata Akaun Bank Syarikat untuk tiga (3) bulan terkini
d. Lain-lain dokumen sekiranya diperlukan

PERINGATAN ELAK PENIPUAN DAN ‘SCAMMERS’

BSN juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa permohonan mestilah dilakukan melalui BSN sahaja.

Di samping itu, orang ramai serta para pelanggan dinasihati untuk sentiasa berwaspada dengan scammers yang menyamar sebagai Pegawai BSN.