Artikel

[RENCANA] PKS Perlu Bersedia Untuk Mendepani Cabaran Ekonomi Pasca-PKP

Pakej Rangsangan Prihatin PKS atau Prihatin Tambahan secara umumnya menerima maklumbalas baik dari ramai pihak.

Ia disifatkan sebagai inisiatif bersasar yang lebih tepat untuk PKS melihat kepada keadaan ekonomi ketika ini.

Namun, saya tidak ingin memberi tumpuan kepada Pakej Prihatin Tambahan ini kerana rata-ratanya, perinciannya sudah dianalisis secara rapi sejak pengumumannya pada Isnin lepas oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa yang saya ingin sentuh adalah tentang kelangsungan perniagaan PKS yang sentiasa berada di bibir pemilik dan pekerja PKS sejak seminggu dua ini.

Melihat kepada inisiatif yang diumumkan yang terhad kepada 3 bulan, antara persoalan pertama yang timbul adalah apa yang akan berlaku sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan bukan 2 minggu tetapi 2 bulan atau lebih daripada itu?

Pertama sekali, ingin saya ingatkan bahawa perang terhadap penularan Covid-19 tidak berakhir selepas penamatan PKP.

Malah, pada pandangan saya yang tidak begitu arif tentang polisi kesihatan awam, usaha memutuskan rantaian wabak penularan Covid-19 secara sepenuhnya bermula selepas PKP diumumkan tamat.

Ini kerana usaha penjarakkan sosial masih lagi diteruskan walaupun PKP tamat.

Oleh itu, saranan saya bagi PKS adalah mula melihat kepada model perniagaan pasca pandemik untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

Ini termasuk migrasi sepenuhnya kepada digital atau platform maya dan menawarkan khidmat mesra penghantaran terus buat pengguna.

Ini adalah realiti perniagaan PKS ketika ini kerana kita tidak boleh terus mengharapkan Kerajaan untuk terus menyalurkan bantuan sepanjang tempoh perang kita dengan Covid-19.

Mungkin anda fikir, senang untuk saya berkata kerana saya bukan pengusaha PKS.

Walaubagaimanapun, nasihat saya diberi berdasarkan ulasan oleh pakar-pakar ekonomi dan penganalisis termasuk Dr Jomo Kwame Sundaram yang menyatakan bahawa kita harus mempersiapkan diri untuk menghadapi dunia yang berdepan dengan penularan Covid-19 kerana segalanya bakal berubah.

Ini termasuk cara kita bersosial, berniaga, trend pembelian, cara pembelian dan sebagainya.

Harapan saya adalah rata-rata pengusaha PKS mampu mengadaptasi kepada situasi ini agar kelangsungan perniagaan dapat terus dikekalkan.