Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 8 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

8 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 166 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,487 kes (36.1) peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 8 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 156 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,119 kes.

Sehingga kini, seramai 76 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat dua (2) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 65 kes (1.58 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-64 (kes ke-2903) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 58 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 7 April 2020 jam 3.20 petang.
  • Kes kematian ke-65 (kes ke-1906) merupakan lelaki warganegara Pakistan berumur 69 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 8 April 2020 jam 9.30 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan. Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab. Pematuhan kepada ketetapan ini adalah amat penting bagi mengekang dari berlakunya penularan jangkitan yang meluas dalam masyarakat.

Didapati semasa tempoh PKP ini, masih terdapat aktiviti pergerakan yang tidak dibenarkan serta aktiviti kunjungmengunjung ke rumah saudara mara termasuk mereka yang tidak sihat serta mereka yang sedang menjalani “home / self surveillance”.

Misalnya, bagi kes kematian ke-64, beliau dan beberapa orang lain telah meneruskan perjalanan ke luar kawasan, iaitu ke dua negeri, meskipun PKP telah dikuatkuasakan mulai 18 Mac 2020. Didapati kenderaan di jalan raya juga makin meningkat. KKM khuatir sekiranya ketidakpatuhan oleh masyarakat ini akan meningkatkan lagi penularan jangkitan COVID-19.

Mengambil kira situasi semasa ini, KKM ingin menggesa orang ramai supaya kekal patuh kepada PKP. Ini adalah amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Sepanjang tempoh PKP ini juga, pihak KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah sambil mengamalkan:

  • Tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
  • Jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 April 2020 @ 5.00 petang