Artikel

Kunjung-Mengunjung Ke Rumah Saudara Semasa PKP, Antara Punca Kluster Rembau Wujud – DG Hisham

Siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun Negara kini adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Rembau.

KKM telah mengesan sebuah sub-kluster di Daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling.

Ini merupakan satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudiannya beberapa lokaliti di dalam Daerah Rembau (Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar).

Sehingga 8 April 2020 jam 12 tengah hari, terdapat dua puluh tujuh (27) orang yang telah dikenalpasti positif COVID-19, termasuk dua (2) kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah.

Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ianya telah dihadiri oleh kes indeks (kes ke-448) yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Seri Petaling.

Guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat 3 generasi jangkitan.

Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun Negara kini adalah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).