Artikel

Suhaimi Sulaiman Dilantik Selaku Pengerusi Baharu Bernama

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini (8 April) telah mengumumkan Suhaimi Sulaiman kini dilantik sebagai Pengerusi Bernama baharu, menggantikan Datuk Seri Azman Ujang.

Tempoh pelantikan ini mula berkuat kuasa sejak 1 Februari 2020 lalu.

Saifuddin juga turut mengumumkan pelantikan barisan 12 Anggota Lembaga Pengelola Bernama dan empat Anggota Majlis Penyeliaan Bernama, yang berkuatkuasa bagi tempoh perkhidmatan sama.

Seterusnya, pelantikan ini juga telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan peruntukan Akta Bernama 1967 [Akta 780].

Menyingkap sedikit latar belakang Suhaimi Sulaiman – beliau merupakan personaliti televisyen yang memiliki berpengalaman dalam bidang penyiaran dan kewartawanan.

Suhaimi juga pernah meyandang tugasan selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang saluran berita TV Astro AWANI.

Sebelum itu, beliau telah berkhidmat dengan TV3 dan Media Prima sebagai Pengacara dan Penerbit, dan juga pernah bekerja di Bank of Commerce sebelum itu.

Suhaimi merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Portland State University, Portland, Oregon, Amerika Syarikat.