Ekoran daripada penularan wabak COVID-19 di serata dunia, pelbagai sektor ekonomi telah terjejas. Antara sektor paling terkesan adalah sektor penerbangan.
Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan hari ini (6 April) memaklumkan bahawa operasi di Terminal 2 (T2), Lapangan Terbang Changi akan dihentikan seketika selama 18 bulan.
Tempoh penggantungan terminal tersebut akan bermula 1 Mei ini.
Menurut Khaw, tindakan penggantungan operasi akan membolehkan operator lapangan terbang Changi Airport Group (CAG) – bersama-sama dengan peruncit, syarikat penerbangan dan firma pengendalian tanah – menjimatkan kos operasi sepanjang krisis COVID-19 ini.
CAG pada bulan Januari lalu telah mengumumkan kerja-kerja menaiktaraf untuk T2 yang membolehkannya mengendalikan lima juta penumpang tambahan setahun. Ini dijadualkan siap pada 2024.
Atas faktor penggantungan, proses baikpulih tersebut akan disambung pada tahun hadapan.
Selain T2, operasi penerbangan di bahagian Terminal 4 (T4) juga kini dikurangkan. Sekiranya syarikat penerbangan yang lain di T4 memilih untuk menangguhkan atau menyesuaikan jadual penerbangan mereka, CAG juga akan menangguhkan pengendalian operasi di T4.