Khazanah Nasional Berhad hari ini (6 April) mengumumkan bahawa pihaknya akan menyumbang sejumlah RM20 juta bagi membantu usaha melawan penularan wabak COVID-19.
Tindakan ini susulan gesaan PM Muhyiddin dalam menyelaraskan usaha bantuan GLC dan GLIC kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta kumpulan lain yang mempunyai keperluan mendesak.
“Saya telah menggesa GLIC dan GLC untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dan menjadi contoh kepada syarikat dan industri lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat membantu rakyat yang menghadapi kesukaran semasa penularan wabak COVID-19″, kata PM Muhyiddin.
Dana tersebut akan digunakan untuk menyokong KKM dalam pembelian bekalan perubatan serta membiayai pelbagai bantuan kemanusiaan yang berkaitan.
Sumbangan syarikat-syarikat ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu peringkat kebangsaan bagi menangani impak wabak ini serta membantu golongan yang terjejas.