Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 6 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

6 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 236 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,241 kes (32.72) peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 6 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 131 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,793 kes.

Sehingga kini, seramai 102 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu (1) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 62 kes (1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-62 (kes ke-3663) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks positif COVID-19 daripada perhimpunan di Seri Petaling (iaitu kes ke-1265, kes ke-1266, kes ke-1267, kes ke-1404 dan kes ke-2549). Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 5 April 2020 jam 10.22 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga tersebut.

KLUSTER COVID-19 YANG TERBENTUK HASIL DARIPADA PERHIMPUNAN BESAR-BESARAN

Seperti dimaklumkan oleh KKM sebelum ini, perhimpunan besarbesaran sememangnya memberi impak secara mendadak dalam peningkatan kes-kes COVID-19 di Malaysia. Hasil siasatan terhadap beberapa kes dan kluster COVID-19, KKM ingin memaklumkan mengenai dua (2) kluster COVID-19 yang didapati berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran:

Persidangan keagamaan di gereja selama 3 hari yang telah berlangsung di Kuching, Sarawak. Setakat ini, seramai 83orang telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini, di mana terdapat:

  • dua (2) kes kematian (kes ke-358 dan kes ke-2471)
  • lima (5) kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU)
  • 50 kes sedang dirawat di hospital
  • 25 kes bawah pemerhatian di pusat kuarantin
  • Satu (1) kes discaj yang telah pulih sepenuhnya.

Majilis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor di mana ianya merupakan satu kluster jangkitan COVID-19 yang kemudiannya telah membentuk jangkitan sehingga generasi ke-5. Sehingga 6 April 2020, 88 kes telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini, termasuk satu (1) kes dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU). Setakat ini, tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini.

Kedua-dua kluster ini melibatkan jangkitan COVID-19 sehingga generasi ke-5.

Susulan itu tindakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac 2020 adalah bertepatan sekali, bagi memutuskan rangkaian penularan virus COVID-19 di kalangan masyarakat. Walaubagaimanapun setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam memastikan usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 ini berjaya.

Masyarakat juga diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan COVID-19. Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Pihak KKM memohon orang ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan:

  • Mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
  • Mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) sekurang- kurangnya 1 meter dari orang lain.

Maklumat lanjut mengenai COVID-19 di Malaysia boleh didapati melalui:

  • Talian CPRC Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM): 03-8881 0300
  • Telegram CPRC KKM; https://t.me/cprckkm

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 April 2020 @ 5.00 petang