Artikel

Syarikat Diberi Moratorium 30 Hari Untuk Kemukakan Penyata Tahunan Kepada SSM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media perutusan khas hari ini (6 April) menyatakan terdapat kesukaran untuk memberi penyata berkanun seperti penyata kewangan dan sebagainya, oleh itu syarikat akan diberikan moratorium.

“Saya juga tahu kesukaran yang dihadapi oleh pihak syarikat untuk mengemukakan dokumen berkanun bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh PKP ini. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik selama 30 hari daripada tarikh terakhir PKP untuk pihak syarikat mengemukakan dokumen berkanun kepada SSM,” kata beliau.

Kerajaan mengumumkan bahawa tempoh menyerah simpan penyata kewangan syarikat juga dilanjutkan selama 3 bulan daripada tarikh terakhir PKP.

Kelonggaran ini diberikan kepada syarikat yang mempunyai tahun kewangan berakhir 30 September hingga 31 Disember 2019.

Walau bagaimanapun, syarikat perlu memohon kelonggaran ini daripada SSM dan tiada fi penghantaran lewat akan dikenakan atas permohonan berkenaan.