Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 5 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

5 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 90 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,005 kes (27.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 5 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 179 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,662 kes.

Daripada 179 kes ini, 46 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 48 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat empat (4) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 61 kes (1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-58 (kes ke-2210) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1031). Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 1.37 tengah hari.

 

  • Kes kematian ke-60 (kes ke-3073) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 April 2020 jam 12.39 pagi.

 

  • Kes kematian ke-61 (kes ke-2200) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 April 2020 jam 9.36 malam.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

KESAN KEGAGALAN MEMAKLUMKAN SEJARAH KONTAK RAPAT ATAU PERJALANAN KE LUAR NEGARA KEPADA PENGAMAL PERUBATAN

KKM ingin menegaskan bahawa adalah amat penting supaya masyarakat memberi maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, sejarah perjalanan ke luar Negara atau kehadiran ke perhimpunan yang diumumkan oleh KKM sebagai berkait rapat dengan penularan jangkitan COVID-19.

Sebagai contoh, daripada hasil siasatan yang telah dijalankan, terdapat satu kluster yang wujud daripada kes indeks positif COVID-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Itali (kes
ke-1580). Setakat ini, daripada kluster tersebut 37 orang telah disahkan positif COVID-19, di mana terdapat lima (5) kes kematian (iaitu kes ke-1031, kes ke-1032, kes ke-1006, kes ke-2850 dan kes
ke-2210), serta satu (1) kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kluster ini telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ke-3.

Sehingga 5 April 2020, 12 tengah hari, sebanyak 180 buah Negara di seluruh dunia yang terjejas akibat jangkitan COVID-19. Justeru, sememangnya terdapat risiko bagi kes-kes luar negara diimport
COVID-19 ke dalam Negara dan mengakibatkan penularan di dalam negara.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang telah disediakan. Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan iaitu saringan demam dan gejala COVID-19. Ujian pengesanan COVID-19 akan dijalankan dan mereka akan dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin tersebut.

Sekiranya ada yang bergejala semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa atau ketika berada di stesen kuarantin, mereka akan dihantar ke hospital yang telah dikenalpasti untuk pemeriksaan dan
rawatan. Mereka yang dikesan positif COVID-19 melalui ujian pengesanan sampel yang dijalankan, akan dirujuk ke hospital dikenalpasti untuk tujuan isolasi, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan. Ini adalah untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 kepada masyarakat dan seterusnya untuk membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Rakyat Malaysia memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu negara Malaysia memutuskan rantaian penularan COVID-19 di Malaysia. Pematuhan masyarakat terhadap PKP adalah mustahak dalam mempengaruhi keputusan pelanjutan PKP.

Justeru, pihak KKM memohon kerjasama daripada rakyat Malaysia dalam memerangi kejadian ini. Orang awam boleh menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan:

  • Patuh kepada PKP.
  • Mengamalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun
  • Mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) sekurangkurangnya 1 meter dari orang lain.

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 April 2020 @ 5.00 petang