Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 4 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

4 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 88 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 915 kes (26.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 4 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,483 kes.

Daripada 150 kes ini, 80 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.

Sehingga kini, seramai 99 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat empat (4) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 57 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-54 (kes ke-2149) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac 2020 dan beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 12.10 pagi.
  • Kes kematian ke-55 (kes ke-860) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 4.00 petang.
  • Kes kematian ke-56 (kes ke-2850) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau mempunyai kontak
    rapat dengan kes ke-1031 dan telah dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 30 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 4.16 petang.
  • Kes kematian ke-57 (kes ke-1575) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di
    Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada 23 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 10.25 malam.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Adalah dimaklumkan bahawa sehingga kini, kebanyakan kes positif yang dikesan adalah berkait dengan mereka yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling (1,545 kes daripada 3,483 kes
keseluruhan – 44.36 peratus. Kluster ini merupakan kluster yang terbesar setakat ini dan telah mempunyai beberapa generasi kluster jangkitan, misalnya melibatkan ahli keluarga mereka, kontak rapat di masjid dan juga madrasah tahfiz.

KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenalpasti dan menguji semua kontak rapat di kalangan kumpulan yang berisiko tinggi ini. Orang awam juga diseru agar
menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk disaring sekiranya menghadiri atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Orang awam dipohon untuk memberikan kerjasama kepada agensi-agensi yang terlibat dalam memenangi kejadian COVID-19 di Malaysia. Seperti dimaklumkan, tempoh dua minggu akan
datang ini adalah amat penting di mana kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Justeru, KKM ingin menasihatkan orang ramai untuk duduk di rumah (stay at home) sambil mengamalkan etika kebersihan diri misalnya kerap membasuh tangan dan jarakkan diri (sosial
distancing) antara satu sama lain. Sekiranya mempunyai gejala,gunakan penutup hidung dan mulut.

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

4 April 2020 @ 5.00 petang