Artikel

Kerajaan Memperuntukkan RM5.63 Bilion Bagi Pembayaran Fasa Pertama BPN

Umum ketahui, pada minggu lalu YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM250 bilion dibawah Pakej PRIHATIN kepada masyarakat negara.

Susulan itu, menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul menyatakan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ini akan mula disalurkan pada tempoh yang telah ditetapkan.

Menerusi fasa pertama ini, dijangka hampir 8.3 juta individu isi rumah akan memperolehi manfaat dengan nilai keseluruhan peruntukan fasa pertama adalah RM5.63 bilion.

Inisiatif ini turut meliputi usaha daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) kerana membolehkan proses pembayaran BPN ini dipercepatkan.

Tindakan ini sekaligus mempamerkan usaha Kerajaan dan pihak yang terlibat dalam membantu kedudukan kewangan rakyat Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali dan merujuk kepada sumber rasmi bagi pertanyaan lanjut.