Artikel

KKM Menasihatkan Orang Ramai Tidak Menyertai Perhimpunan Awam Antara 6 Bulan Ke Setahun

Penjarakkan sosial merupakan salah satu perkara yang ditekankan oleh kerajaan sejak penularan wabak Covid-19 berlaku. Langkah ini adalah salah satu usaha dalam mengurangkan penularan wabak antara orang.

Selari dengannya, kini Kementerian Kesihatan Malaysia turut menasihatkan supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan awam antara 6 bulan hingga setahun – sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan menjelang 14 April 2020 ini. Pada masa yang sama, KKM turut menasihatkan supaya orang ramai kerap basuh tangan dengan air dan sabun.

Dengan tempoh sasaran sehingga 12 bulan, ia mungkin memberikan impak terhadap operasi sejumlah syarikat – terutamanya yang berkaitan dengan pengurusan acara, hospitaliti, pengangkutan dan beberapa yang lain. Gaya pendidikan dilaksanakan juga mungkin mengalami sedikit perubahan berbanding sebelum ini.

Hal ini kerana orang ramai akan mula kurang pergi ke tempat tumpuan ramai dalam mengelak menjadi mangsa penularan wabak, selain pada masa yang sama mungkin akan mengubah gaya hidup ke arah lebih digital, sekaligus mengelak lokasi tumpuan ramai.

Mungkin syarikat yang sering terlibat dengan operasi melibatkan kedatangan orang ramai perlu melihat kepada beberapa alternatif dalam usaha meneruskan operasi melangkaui setahun akan datang ini.