Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut garis panduan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mana-mana negara yang membuat ujian COVID-19 harus mematuhi beberapa perkara.
Pertama, apa-apa ujian yang dijalankan, harus menemui lebih banyak negatif, dari yang positif, untuk menentukan sama ada ujian terhadap sesuatu komuniti itu memadai.
Kedua, sekiranya angka positif itu 10%, atau rendah dari 10%, maka ia boleh dikatakan bahawa ujian terhadap sesebuah komuniti itu memadai.
Buat masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat 47,723 ujian.
Dari ini, 3,333 adalah kes positif. 36,125 adalah kes negatif. Manakala 8,265 menunggu keputusan.
Ini memberikan kadar positif sebanyak 9% dari ujian yang telah mendapat keputusan, dan 7% jika dibandingkan dengan kesemua ujian yang telah dijalankan.
Ini memberikan sebuah gambaran jelas bahawa ujian COVID-19 yang dijalankan di Malaysia buat masa ini, adalah memadai.
“Mustahil untuk KKM membuat ujian kepada 30 juta rakyat dan penduduk Malaysia. Disebabkan ini, kami mengikut garis panduan yang telah diberikan oleh WHO untuk menjalankan ujian terhadap kluster-kluster yang berisiko tinggi menghidap COVID-19,” kata Dr. Noor Hisham.
“Dari angka yang telah dijalankan, iaitu sebanyak 47,723 ujian PCR untuk menentukan samada seseorang pesakit itu COVID-19 positif atau tidak, nisbah positif adalah 9 peratus. Dan kalau kami mengikut garis panduan yang telah diberikan oleh WHO, sebanyak 10 peratus atau lebih rendah harus dicapai untuk menentukkan samada ujian memadai telah dijalankan.
Maka dengan ini, kami boleh nyatakan dengan jelas bahawa buat masa ini, ujian COVID-19 yang dijalankan di Malaysia adalah memadai,” tambah Dr. Noor Hisham lagi