Artikel

Lebih 100 Anggota Kesihatan Positif COVID-19, Berikut Adalah Sebab Bagaimana Mereka Dijangkiti

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 2 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, dilaporkan bahawa terdapat 138 anggota kesihatan KKM yang telah dikesan positif COVID-19.

Berdasarkan siasatan setakat ini, TIADA kes yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad COVID-19 dan unit rawatan rapi (ICU) di fasiliti KKM.

Daripada jumlah tersebut, punca-punca jangkitan adalah:

  • 58 kes (42 peratus) berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh individu yang juga menghadiri perhimpunan di Seri Petaling
  • 14 kes (10.1 peratus) berkaitan dengan pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan kes bergejala ringan di mana, mereka tidak tahu atau tidak memaklumkan status mereka. Dua (2) kes daripada kumpulan ini tidak memaklumkan yang mereka telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling.
  •  9 kes (6.5 peratus) dari kontak dengan ahli keluarga yang positif COVID-19
  • 6 kes (4.3 peratus) dengan sejarah melawat ke luar Negara
  • 4 kes (2.9 peratus) dari rakan yang positif COVID-19
  • 3 kes (2.2 peratus) dari pendedahan semasa aktiviti saringan di lapangan
  • 2 kes (1.4 peratus) telah hadir perhimpunan di Seri Petaling
  • baki kes iaitu 42 kes (30.4 peratus) masih dalam siasatan punca jangkitan.

Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) termasuk pengamal perubatan swasta dan NGO, yang merawat pesakit perlu menggunakan penutup hidung dan mulut (facemask).

Anggota kesihatan juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan, terutama ketika melaksanakan prosedur klinikal.

KKM juga menyeru supaya orang ramai yang datang untuk mendapatkan rawatan memberi maklumat secara jujur mengenai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, kehadiran ke mana- mana perhimpunan dan sejarah perjalanan ke luar Negara.

Bagi anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners), adalah amat penting untuk anda menjaga kesihatan fizikal dan mental

  • Ambil masa untuk berehat antara tugasan
  • Pastikan anda makan secara sihat
  • Jangan bersendirian, kongsilah perasaan dan emosi dengan seseorang yang anda percaya
  • Saling memberi kata-kata perangsang dan sokong- menyokong di antara rakan sekerja
  • Berinteraksilah dengan ahli keluarga
  • Dapatkan bantuan sokongan psikososial bila perlu KKM amat menghargai ahli keluarga anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) atas sokongan yang diberikan kepada mereka.