Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 3 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

3 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 60 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 827 kes (24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 3 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 217 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,333 kes.

Daripada 217 kes ini, 58 adalah berkaitan dengan perhimpunan Seri Petaling.

Selain itu, 44 kes telah dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang merupakan salah satu hospital COVID-19, di mana 41 kes adalah kes berkaitan madrasah tahfiz di Selangor.

Sehingga kini, seramai 108 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat tiga (3) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 53 kes (1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-51 (kes ke-2561) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac 2020 dan kemudian ke Institut Jantung Negara. Beliau disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 1.07 tengah hari.

 

  • Kes kematian ke-52 (kes ke-2122) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 7.55 pagi.

 

  • Kes kematian ke-53 (kes ke-2034) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit
    jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 9.30 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Seperti yang termaklum, setakat 3 April 2020, terdapat sebanyak 827 pesakit positif COVID-19 yang telah pulih sepenuhnya dan didiscaj dari wad.

Mengambil iltizam dan semangat juang yang ditunjukkan mereka dalam proses untuk sembuh daripada jangkitan COVID-19, KKM berharap ini akan memberi harapan kepada pesakit-pesakit lain
serta masyarakat untuk kekal optimis dalam pada Negara menghadapi pandemik COVID-19. Masyarakat pula diseru untuk mengelak dari mewujudkan stigma terhadap mereka. malah memberi sokongan moral kepada mereka yang terlibat.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

3 April 2020 @ 5.00 petang