Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengumumkan bermula hari ini, Institut Pengajian Tinggi (IHL) dan sekolah-sekolah akan beralih kepada pembelajaran dari rumah sepenuh masa.
Semua pusat penjagaan sekolah dan pelajar akan ditutup. Ini adalah langkah kerajaan Singapura membantu rakyat mereka.
Beberapa minggu lalu, bilangan kes baru COVID-19 telah mula meningkat. Pihaknya telah memantau perkembangan ini dengan teliti, dan mengetatkan langkah berjaga-jaga secara berperingkat.
Rata-rata, rakyat Singapura telah mematuhi arahan.
Bagi masyarakat Melayu/Islam, beberapa pengorbanan dan penyesuaian besar perlu dilakukan, seperti kaum lain juga. Antaranya adalah masjid perlu ditutup, majlis keramaian seperti majlis perkahwinan perlu ditunda.
PM Lee menyuarakan rasa kecewanya apabila masyarakat tidak akan dapat nikmati suasana bazar di Geylang Serai pada tahun ini, tetapi perkara tersebut tidak dapat dielakkan.
Seterusnya, keadaan ketika ini masih lagi terkawal. Namun sekiranya kes baru terus meningkat, Singapura telah memutuskan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat, selama sebulan.
Sebahagian besar tempat kerja perlu ditutup. Tetapi perkhidmatan penting seperti pasar dan pasar raya, tempat makan, dan pengangkutan awam akan terus dibuka.
Rakyat Singapura masih boleh mendapatkan barangan keperluan, dan masih boleh membeli makanan di pusat peniaga.
Selain itu, beliau turut menyeru penglibatan ibu bapa dalam memantau anak-anak mereka di rumah adalah sangat penting, supaya pendidikan mereka tidak terjejas.
Masyarakat juga disarankan untuk kekal berada di rumah dan elakkan daripada bergaul selain daripada lingkungan keluarga sendiri.
PM Lee menyifatkan situasi ini amat sukar untuk dilakukan, namun demi kesejahteraan negara mereka perlu melakukan secara bersama.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana memberikan kerjasama ini.