Artikel

[RENCANA] Persiapkan Diri Untuk Ekonomi Pasca Pandemik COVID-19

Ini bukan masanya untuk utamakan disiplin fiskal.

Walaupun saya bukan pakar ekonomi, tetapi saya percaya ekonomi pasca pandemik Malaysia tidak boleh berpandukan kepada penumpuan pengurangan defisit fiskal.

Malah, pendapat yang berlegar di fikiran turut dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menyatakan kadar defisit fiskal Kerajaan ketika ini bukan perkara utama yang perlu diberi tumpuan ketika berdepan ekonomi yang dilanda pandemik Covid-19.

Prinsip ini turut disokong oleh Pakar Ekonomi dari Malaysia Dr Jomo K.S. dimana beliau menyatakan semua orang tidak patut menganggap kehidupan akan kembali seperti biasa selepas ini.

Menurut beliau, penularan Covid-19 ini akan mentransformasikan kehidupan sosial, perniagaan malah politik.

Jadi, kita harus mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran baharu ini.

Apa penyelesaiannya? Secara jujurnya, saya tidak mampu memberi pil ajaib.

Namun, saya percaya perubahan paradigma pemikiran adalah perlu untuk kita mengharungi kehidupan di zaman wujudnya pandemik Covid-19.

Antara perkara yang boleh saya cadangkan adalah ikhtiar untuk mengubah mod perniagaan anda kepada ‘Digital First’.

Sama ada jual di Facebook, Instagram, Twitter, Aplikasi dan sebagainya, sebagai peniaga anda harus fikir untuk bagaimana memindahkan kaedah jualan anda ke platform maya.

Ini adalah antara kaedah terpenting untuk perniagaan terus kekal dalam situasi ketika ini.

Saya sedar bukan semua mempunyai akses kepada internet. Oleh itu, saya berharap agar Kerajaan boleh mencari jalan untuk memastikan penembusan 100 peratus bagi internet di negara ini.

Diharap melalui perubahan pendekatan ini, ekonomi negara tidak akan terlalu merudum dan ekonomi kita dapat kembali pulih lebih cepat dari jangkaan.