Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah sekali lagi menyatakan bahawa bekas Timbalan KP Kesihatan Datuk Dr. Christopher Lee kini ditugaskan untuk meneliti dan mengkaji kes-kes kematian COVID-19.
Dr. Christopher sebelum ini telahpun bersara dari perkhidmatan kerajaan.
Beliau juga merupakan Pakar Perunding Kanan bidang Penyakit Berjangkit (Infectious Diseases).
Menurut Dr. Noor Hisham, setakat ini, ada tiga risiko yang tinggi yang menyebabkan kes kematian.
“Pertama, terdapat risiko penyakit tidak-berjangkit yang lain, atau comorbid, seperti kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, dan lain-lain. Jika ada pesakit yang ada isu seperti ini, dan kemudiannya dijangkiti COVID-19, risiko kematian lebih tinggi dari yang lain.
“Kedua adalah umur yang lanjut. Pesakit yang lebih tua mempunyai risiko lebih tinggi untuk meninggal dunia berbanding yang muda.
“Ketiga, lambat didiagnos atau lambat ke hospital. Seperti mana kita lihat sebelum ini, ada kes-kes kematian COVID-19 yang muda. Kes-kes yang berumur 30-an dan 20-an, tetapi mereka datang ke hospital pada waktu yang lewat.
“Dr. Christopher akan meneliti kes-kes ini dan akan memberi sumbangan penyelidikan kepada KKM dan juga kerajaan,” kata Dr. Noor Hisham.