Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 2 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

2 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 122 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 767 kes (24.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 2 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 208 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,116 kes.

Sehingga kini, seramai 105 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat lima (5) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 50 kes (1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-46 (kes ke-2909) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti. Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 11.10 malam.

 

  • Kes kematian ke-47 (kes ke-2910) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan gout. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 7.10 malam.

 

  • Kes kematian ke-48 (kes ke-2572) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 8.01 pagi.

 

  • Kes kematian ke-49 (kes ke-1273) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke2107). Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 1 April 2020 jam 8.36 malam.

 

  • Kes kematian ke-50 (kes ke-1767) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 2.20 petang.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

PENGENALAN SISTEM ONLINE APPOINTMENT DI KLINIK KESIHATAN

Sistem Online Appointment di Klinik Kesihatan merupakan kolaborasi di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan empat (4) syarikat iaitu Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan DoctorOnCall. Ini adalah sebagai inisiatif untuk mengurangkan kesesakan di klinik-klinik kesihatan khususnya semasa pandemik jangkitan COVID-19 bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di klinik pada sesuatu masa perlu diamalkan, selaras dengan penjarakan sosial (social distancing).

Melalui sistem Online Appointment ini, pelanggan boleh memilih slot waktu temujanji untuk datang ke klinik bagi mendapatkan perkhidmatan. Sistem ini adalah untuk kes-kes walk-in penyakit ringan sahaja.

Sistem ini bakal dilaksanakan secara berfasa bermula dengan 4 buah klinik kesihatan iaitu KK Presint 9, 11, 14 dan 18 di Wilayah Persekutuan Putrajaya bersama DoctorOnCall. Selanjutnya perkhidmatan ini akan diperluaskan ke klinik kesihatan yang terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor dengan kolaborasi Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan DoctorOnCall.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Pihak KKM prihatin dengan keadaan semasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mungkin boleh mengakibatkan orang ramai mengalami pelbagai emosi seperti kerisauan, panik, sedih dan murung.

KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat menjaga kesihatan minda dengan mengambil beberapa langkah berikut:

  • Elakkan bersendirian dan kongsi perasaan anda dengan seseorang yang dipercayai
  • Saling memberi kata-kata positif kepada diri sendiri, ahli keluarga dan rakan
  • Saling berhubung dan berinteraksi dengan orang tersayang dan rakan rapat, menggunakan pelbagai medium komunikasi
  • Beribadat mengikut kepercayaan masing-masing
  • Amalkan teknik relaksasi
  • Lakukan aktiviti fizikal di rumah
  • Makan secara sihat

Justeru, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan sokongan psikososial dengan menghubungi talian berikut:

011-63996482 / 011-63994236 / 03-29359935

Waktu operasi adalah dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari.

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

2 April 2020 @ 5.00 petang