Artikel

Ketua Bahagian Pelaburan Hartanah KWSP Kini Merangkap Jawatan Pengarah Urusan Kwasa Land

Kwasa Land, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menamakan Mohamad Hafiz Kassim sebagai Pengarah Urusan terpilih berkuatkuasa 1 April 2020, menggantikan Dato’ Mohd Lotfy Mohd Noh yang telah bersara pada akhir Mac 2020.

Mohamad Hafiz berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang korporat yang berfokuskan bidang hartanah, pasaran modal, ekuiti swasta, perkhidmatan kewangan dan perakaunan.

Beliau akan menerajui usaha Kwasa Land sebagai pemaju induk bagi pembangunan perbandaran Kwasa Damansara, berkeluasan 2,300 ekar yang merupakan kawasan prima terakhir di Lembah Klang yang turut menyediakan perumahan bandar, kemudahan komersial, pendidikan dan rekreasi.

Sejak memulakan kerjaya beliau di KWSP pada tahun 2008, beliau sebelum ini telah menggalas beberapa jawatan utama di Bahagian Pelaburan.

Lanjutan daripada perlantikan beliau di Kwasa Land, beliau juga akan terus mengetuai bahagian pelaburan hartanah di KWSP.

Sebelum ini, beliau telah mengetuai beberapa bahagian di KWSP termasuklah Bahagian Pasaran Modal dan Swasta (Private Markets and Capital Markets).

Beliau pernah menyertai firma yang bereputasi seperti Daiwa Capital, PwC United Kingdom dan Malaysia, dan juga Telekom Malaysia, di mana beliau memulakan kerjaya beliau sebagai Penganalisis Pelaburan.

Mohamad Hafiz berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Ekonomi), jurusan Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science. Beliau juga merupakan ahli badan berkelulusan professional ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) dan pemegang CFA (Chartered Financial Analyst).