Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan bahawa golongan B40 yang telah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan golongan M40 yang telah mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDN tidak perlu membuat pendaftaran bagi permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Ini kerana penerima BSH layak menerima BPN secara automatik.
Manakala golongan M40 yang mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDN pula akan dinilai berdasarkan jumlah pendapatan dan kriteria lain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
Semakan status penerimaan BPN boleh dilakukan secara dalam talian mulai 01 April 2020 dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my.
Sekiranya status semakan adalah ‘tiada rekod’, orang ramai boleh membuat permohonan baharu dengan klik butang ‘Permohonan Baru’. Permohonan baharu secara dalam talian adalah dibuka sehingga 30 April 2020.
Orang ramai hanya perlu mengikuti langkah mudah untuk semakan penerimaan BPN. Ini termasuk memberikan nombor kad pengenalan dan sebagainya.
Orang ramai diingatkan bahawa tiada permohonan secara manual menggunakan borang setakat ini memandangkan semua premis LHDNM ditutup sementara sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
Sementara itu, bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my bermula 03 April 2020.
Memandangkan trafik capaian ke portal-portal rasmi yang dinyatakan di atas adalah amat tinggi buat masa ini, orang ramai mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat semakan.
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan di luar waktu puncak.
Bayaran BPN akan dilakukan secara berperingkat pada bulan April dan Mei 2020.
Sebagai memberikan kemudahan kepada pelanggan, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara di atas juga boleh dimajukan kepada LHDN melalui, HASiL Live Chat; atau menggunakan borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/; dan akaun Media Sosial Rasmi LHDN.