Affin Bank Berhad kini telah melantik Encik Wan Razly Abdullah Bin Wan Ali selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu. Pelantikan ini berkuat kuasa mulai 2 April 2020.
Wan Razly mengambil alih jawatan tersebut dari Kamarul Ariffin Mohd Jamil yang telah menamatkan kontrak perkhidmatan beliau pada 31 Mac 2020.
Beliau memiliki latarbelakang Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-Undang dan Perakaunan dari University of Manchester, United Kingdom dan juga ahli Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).
Wan Razly merupakan seorang yang berpengalaman di dalam bidang perbankan komersial dan pelaburan, di Malaysia dan Indonesia. Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 24 tahun di dalam strategi korporat, kewangan, perbankan pelaburan, perkhidmatan perakaunan dan audit.
Sebelum pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Wan Razly memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kanan bagi salah satu Kumpulan Perbankan terkemuka di Malaysia.