Artikel

[RENCANA] Jika Masa Dihadkan Untuk Ke Pasaraya, Tidakkah Ia Lebih Sesak?

Keputusan untuk mengetatkan lagi peraturan dan kawalan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Kedua mengundang pelbagai reaksi dari rakyat Malaysia.

Ada yang bersetuju dengan beberapa perubahan kepada peraturan tersebut namun ada juga yang kurang bersetuju.

Misalnya kawalan berasaskan masa yang diperkenalkan dimana pasaraya dan hypermarket dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga ke 8 malam.

Begitu juga dengan restoran dan juga khidmat penghantaran makanan. Walaupun secara logiknya, pengurangan masa operasi ini secara luarannya dilihat sebagai penting dalam memutuskan rantaian wabak namun saya ingin ajak anda semua berfikir sebentar tentang had masa yang diletakkan ini.

Jika sebelum ini Pasaraya A dibenarkan beroperasi selama 13 jam dari 9 pagi hingga 10 malam dan menerima 130 orang pelanggan sehari, purata pengunjung kedai adalah 10 pelanggan setiap jam.

Namun, apabila masa dikurangkan kepada hanya 12 jam sehari, pertambahan purata pelanggan bagi setiap jam sudah pasti akan berlaku.

Ini bermakna keadaan lebih sesak secara puratanya di pasaraya memandangkan jumlah pelanggan yang sama membeli di pasaraya yang sama.

Logik yang sama boleh digunapakai untuk semua khidmat yang dihadkan masa operasinya.

Namun, saya berharap had masa ini akan memberi kesedaran kepada rakyat masa secara umumnya untuk merancang dengan lebih rapi setiap kali anda keluar dari rumah.

Walau bagaimanapun, saya percaya ada sebabnya had masa ini diletakkan setelah konsultasi bersama pakar kesihatan awam negara dibuat.

Harapan saya adalah segala langkah yang diambil akan membantu dalam melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 dan kita dapat meneruskan kehidupan harian seperti biasa.