Setakat ini, Malaysia telah menjalankan 43,402 ujian.
Dari angka ini, 2,908 kes merupakan positif COVID-19.
Walaubagaimanapun, terdapat 7,660 kes ujian yang masih menunggu keputusan (pending).
“Sebenarnya kebolehan makmal-makmal yang melakukan ujian COVID-19 di Malaysia ini adalah memadai,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
“Sebelum ini, terdapat 12 hospital awam yang menjalankan ujian di makmal mereka. Hari ini (1 April), kami tambah lagi 2 hospital yang berupaya melakukan ujian COVID-19, iaitu Hospital Sibu dan Hospital Queen Elizabeth.
“Ini bermakna ada 14 hospital awam yang sedang melakukan ujian COVID-19.
“Ditambah pula dengan 1 makmal di Institute of Medical Research (IMR) di Kuala Lumpur.
“Selain itu, terdapat lima makmal kesihatan awam yang kami gunakan untuk menjalankan ujian COVID-19 ini.
“Kesemuanya terdapat 20 makmal yang sedia ada.
“Selain itu, terdapat juga 7 lagi makmal-makmal swasta yang menjalankan ujian COVID-19. Di tambah pula dengan 12 makmal di IPTA, 7 makmal IPTS, 1 makmal angkatan tentera, dan 1 lagi makmal yang lain.
“Ini bermakna jumlah makmal yang sedang menjalankan ujian COVID-19 adalah 48 makmal kesemuanya,” kata Dr. Noor Hisham.
Keupayaan 48 makmal ini bermakna sebanyak 11,500 ujian sehari boleh dilakukan.
Ini akan dipertingkatkan lagi kepada 16,500 ujian sehari.
KOREA RAPID TEST KIT
Selain itu, Dr. Noor Hisham memberi sedikit penerangan tentang Rapid Test Kit (RTK) dari Korea Selatan.
KKM sedang melaksanakan verifikasi RTK yang datang dari Korea ini.
“Kalau keputusan menunjukkan ketepatan (accuracy) yang tinggi, KKM akan beli sebanyak 200,000 ribu unit.
“Dengan adanya RTK ini, ujian tidak perlu lagi dihantar ke makmal untuk mendapat keputusan.
“Apa yang diperlukan di pusat-pusat screening COVID-19 adalah hanya perlukan ‘Bio Safety Cabinet’ sahaja.
“Dengan adanya RTK ini dan ia ditempatkan di barisan hadapan, serta ujian yang dilakukan oleh pegawai barisan hadapan yang tidak memerlukan RTK dihantar ke makmal, ternyata Malaysia akan dapat mempertingkatkan dengan melipat ganda cara mendapat keputusan ujian COVID-19 ini.
“Sekiranya ketepatan memadai, KKM akan beli 200,000 unit dalam kadar segera,” tambah Dr. Noor Hisham lagi.
KKM dilaporkan sedang melakukan ujian ketepatan RTK pada hari ini.