Artikel

Carta Ini Bukti Tanda-Tanda Awal Kita Menang Lawan COVID-19 – DG Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa Malaysia ada tanda-tanda awal bahawa kita sedang menang dalam perang menentang wabak COVID-19.

DG Hisham merujuk kepada sebuah laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang sebelum ini membuat unjuran pada akhir bulan Februari 2020, bahawa Malaysia akan menyaksikan lebih dari 10,000 kes positif, jika tiada tindakan drastik di ambil.

Setelah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penularan wabak COVID-19 berjaya dibendung.

Pada laporan susulan MIER yang diterbitkan pada Rabu (1 April), laporan ini menunjukkan bahawa penularan wabak telah dibendung.

“Garisan merah adalah unjuran yang dibuat. Garisan biru adalah status terkini. Ternyata kita menunjukkan tanda-tanda awal bahawa kita sedang memenangi perang COVID-19 ini,” kata Dr. Hisham.

“Ini bukan bermaksud kerja kita selesai. Kerana kes sebenar adalah mendatar, dan bukannya menurun. Ini adalah sebab besar mengapa PKP harus diteruskan buat masa ini,” tambah beliau lagi.

Setakat 31 Mac, terdapat lebih dari 8,000 ujian COVID-19 yang masih menunggu keputusan (pending). Kadar positif dari ujian sebelum ini menunjukkan kadar sebanyak 8%.