Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 1 April

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

1 APRIL 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 108 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 645 kes (22.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 1 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 142 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,908 kes.

Sehingga kini, seramai 102 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 66 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat dua (2) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 45 kes (1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-44 (kes ke-193) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-115). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 4.30 pagi.

 

  • Kes kematian ke-45 (kes ke-1053) merupakan lelaki
    warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-486). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 10.46 malam.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

STATUS SUKARELAWAN UNTUK BERKHIDMAT DI HOSPITAL KKM SERTA PUSAT KUARANTIN DAN RAWATAN COVID-19 BERISIKO RENDAH SEMASA WABAK COVID-19

Buat masa ini terdapat keseluruhan 2,359 orang sukarelawan yang telah menawarkan diri daripada pelbagai kategori yang terdiri daripada:

  • 65 orang Pakar Perubatan pelbagai bidang;
  • 159 orang Pegawai Perubatan;
  • 909 orang Jururawat;
  • 220 orang Juruteknologi Makmal Perubatan;
  • 704 orang Penolong Pegawai Perubatan;
  • 106 orang Juru X-ray;
  • 56 orang Fisioterapi;
  • 70 orang Pegawai Sains (Mikrobiologi);
  • 7 orang Pegawai Farmasi;
  • 44 orang Penolong Pegawai Farmasi;
  • 11 orang Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan;
  • 2 orang Pegawai Psikologi; dan
  • 6 orang Kaunselor

Jadual 1: Senarai Pakar Perubatan mengikut kepakaran

Jadual 2: Bilangan keseluruhan pegawai perubatan sukarelawan mengikut tempat asal bertugas dan status terkini pekerjaan

Jadual 3: Bilangan keseluruhan paramedik sukarelawan mengikut jawatan

KKM sangat menghargai perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dari pelbagai peringkat dan profession dalam menangani penularan kejadian COVID-19 di Malaysia. Dalam masa yang sama, KKM sedang dalam perbincangan dengan agensi pusat untuk segera memperhalusi mekanisma lantikan secara kontrak bagi pengamal profession perubatan yang berhasrat untuk berkhidmat dengan KKM dalam tempoh penularan jangkitan COVID-19 ini.

KKM sangat mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan dan mereka yang ingin berkhidmat dengan KKM untuk tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 dengan mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan Dan Perubatan COVID-19 seperti di bawah:

Kepada mereka yang ingin berbakti di fasiliti kesihatan awam seperti di klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah, KLIA dan sebagainya:

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdnO5pPnHNCFlQ9QnaNk224JI0nZBcvNh4wKasLFpxfbAsMKQ/viewform?usp=pp_url

Kepada yang ingin berbakti di hospital KKM:

https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScTmWCBfjKeKK8pLHU26HAsZPn3pIbs8LzXESb9Jx7gKyxJLg/viewform?usp=sf_link

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan sesetengah pihak dalam berkongsi maklumat berkaitan pemakanan sihat bagi melawan virus SARS-CoV-2 dan jangkitan wabak COVID-19. Namun demikian, pihak KKM mendapati terlalu banyak dakwaan dan testimoni yang menyatakan pengambilan sesuatu jenis makanan, suplemen atau amalan perubatan tertentu yang berkemampuan menyembuhkan jangkitan COVID-19 ini.

Untuk makluman, setakat hari ini, belum ada sebarang kajian saintifik yang dapat membuktikan mana-mana jenis makanan atau perubatan tradisional yang boleh menghalang jangkitan virus ini. Bagi memastikan tubuh mampu melawan penyakit dengan baik, pastikan setiap hidangan makanan yang diambil adalah sihat, seimbang dan pelbagai.

Tiga (3) amalan pemakanan sihat yang perlu diberi perhatian adalah memastikan:

  • Pengambilan sayur-sayuran sebanyak tiga (3) hidangan setiap hari
  • Pengambilan buah-buahan segar sebanyak dua (2) hidangan setiap hari
  • Minum air kosong sebanyak lapan (8) gelas atau dua (2) liter sehari

Selain itu, pastikan setiap hidangan makanan yang diambil mengandungi sumber karbohidrat seperti nasi, roti, mi dan sumber protein seperti ayam, ikan, daging dan kekacang.

Pihak KKM berharap semua sama-sama mengamalkan pemakanan yang sihat ini di samping mengambil langkah-langkah kesihatan lain seperti kerap cuci tangan dengan sabun dan mengamalkan jarakkan sosial (social distancing).

Untuk mendapatkan maklumat yang betul dan terkini, layari portal rasmi KKM; http://moh.gov.my/index.php atau Bahagian Pemakanan: http://nutrition.moh.gov.my/

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat.

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian
Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 April 2020 @ 5.00 petang