Artikel

[RENCANA] Malaysia 2020: Menempuh Pelbagai Kejutan

Oleh: Firas Raad// Pengurus Bank Dunia di Malaysia

Malaysia tidak terkecuali daripada kejutan luaran yang menjejaskan makroekonomi negara. Dalam tempoh dua dekad yang lalu, Malaysia telah menghadapi Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997, kelembapan ekonomi global selepas peristiwa 9/11 pada tahun 2001 dan Krisis Kewangan Global pada tahun 2008.

Setiap kejutan ini telah menjejaskan ekonomi Malaysia dari segi yang berbeza. Krisis yang pertama telah menyebabkan penguncupan ekonomi yang paling besar dalam sejarah Malaysia di mana kadar pertumbuhan bertukar negatif 7.35 peratus pada tahun 1998. Negara ini berjaya mengatasi krisis yang besar ini melalui dasar-dasar yang berhemah dan penggarisan langkah-langkah penting untuk melindungi Malaysia daripada dua kejutan ekonomi yang muncul seterusnya.

Apa yang unik mengenai krisis global COVID-19 yang terbaru ini adalah keadaan di mana wabak ini muncul serta ancamannya terhadap negara dan juga masyarakat di seluruh dunia. Virus COVID-19 ini muncul sewaktu persekitaran ekonomi global sedang mengalami sedikit kelembapan. Sebelum tersebarnya COVID-19 ke seluruh dunia dua bulan yang lalu, pertumbuhan ekonomi hampir semua negara sudah semakin perlahan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Wabak yang bermula secara setempat di Wuhan, China kini menular menjadi krisis kesihatan awam antarabangsa dan krisis ekonomi global yang menyebabkan kejutan bekalan dan juga kejutan permintaan meliputi lebih 180 buah negara. Pada masa yang sama, tatkala pandemik global ini semakin berlarutan, harga minyak antarabangsa turut mengalami kejatuhan pada awal bulan Mac. Perkembangan ini telah menimbulkan tekanan fiskal tambahan terhadap negara-negara pengeluar minyak termasuk Malaysia.

Kejutan yang dibawa oleh COVID-19 terhadap sektor kesihatan awam bermula secara perlahan dan kemudiannya meningkat secara mendadak pada bulan Mac tahun ini. Dalam masa empat minggu selepas 27 Februari, bilangan jangkitan yang terkumpul telah meningkat dengan pantas kepada 2,766 kes yang disahkan dengan 43 kematian dan 537 orang yang sembuh setakat 31 Mac 2020.

Kadar peningkatan ini telah pun memberi tekanan kepada sistem kesihatan Malaysia, terutamanya hospital-hospital awam. Seperti yang disebutkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, sekiranya tiada ujian saringan dan pengasingan kes secara lebih menyeluruh serta penguatkuasaan pematuhan awam yang ketat, keadaan ini boleh membebankan kemudahan penjagaan kesihatan Malaysia dan membawa kepada ‘gelombang tsunami’ yang ketiga akibat peningkatan jumlah kematian terutama dalam kalangan orang tua dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Kejutan COVID-19 yang dihadapi oleh ekonomi Malaysia semakin terkesan dengan krisis kesihatan awam yang meningkat. Pada peringkat awal, kesan krisis mula dirasai oleh sektor produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berkait rapat dengan pasaran negara China; dan sektor pelancongan dan runcit disebabkan oleh penurunan jumlah pelancong yang mendadak. Terkini, kesan ini semakin ketara dan mengakibatkan gangguan yang menyeluruh kepada semua aktiviti ekonomi di negara ini termasuk pasaran kewangan dan mata wang.

Laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa masalah ekonomi yang besar tidak dapat dielak oleh semua negara di rantau ini. Dalam laporan ekonomi serantau kami yang bertajuk East Asia and Pacific in the Time of COVID-19 yang dilancarkan pada awal minggu, pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara membangun di Asia Timur dan Pasifik dijangka akan menguncup kepada 2.1 peratus pada tahun 2020 berdasarkan senario garis dasar dan negatif 0.5 peratus berdasarkan kes senario rendah. Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2020 dijangka turun ke paras negatif 0.1 peratus berdasarkan senario garis dasar dan negatif 4.6 peratus pada kes senario rendah.

Selain daripada pemberhentian pekerja secara besar-besaran, wabak global juga memberi impak mendalam terhadap kadar kemiskinan di rantau ini, di mana 24 juta orang tidak mampu keluar daripada kepompong kemiskinan pada 2020 mengikut senario garis dasar berbanding yang diunjurkan sebelum COVID-19. Anggaran ini dibuat dalam keadaan yang sentiasa berubah dan berdasarkan data yang ada pada 27 Mac 2020.

Laporan terbaru Bank Dunia juga menggesa negara-negara mengambil tindakan segera untuk mengukuhkan langkah pembendungan wabak, meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan melaksanakan langkah-langkah ekonomi yang disasarkan bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, perniagaan dan pekerja Malaysia. Ini termasuk suntikan mudah tunai yang lebih besar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada sektor kewangan. Laporan itu juga menegaskan betapa pentingnya negara mengamalkan pendekatan bersepadu terhadap pembendungan wabak COVID-19 dan dasar makroekonomi, serta kerjasama antarabangsa dan perkongsian awam-swasta untuk memastikan pengeluaran dan pembekalan barangan perubatan utama di seluruh sempadan antarabangsa.

Selaras dengan cadangan tersebut, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan dua pakej rangsangan ekonomi dan meletakkan negara di bawah ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ (PKP) di mana pada peringkat permulaan, perlaksanaannya dibuat selama tempoh dua minggu dan kini dilanjutkan sehingga pertengahan bulan April. PKP melarang perhimpunan awam dan mewajibkan pembelajaran serta bekerja dari rumah untuk semua pelajar dan pekerja (kecuali mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan penting). Langkah ini bertujuan untuk mengehadkan penularan virus secara meluas. Pematuhan orang ramai terhadap dasar ujian saringan KKM dan PKP adalah penting untuk menghalang pembentukan gelombang jangkitan baharu.

Pakej rangsangan ekonomi, secara keseluruhannya, mengandungi elemen-elemen yang tepat untuk menangani kesan krisis COVID-19. Pakej ekonomi kedua dan lebih besar, yang diumumkan pada 27 Mac, memberi keutamaan kepada pekerja barisan hadapan dalam sistem penjagaan kesihatan dan pembelian bekalan perubatan. Pakej tersebut juga mengandungi langkah-langkah tambahan untuk melindungi pendapatan isi rumah Malaysia yang terjejas melalui bantuan tunai, penangguhan pembayaran hutang isi rumah and perniagan, dan penyediaan subsidi upah serta sokongan tambahan kepada perniagaan Malaysia. Matlamat langkah subsidi upah adalah untuk menggalakkan syarikat-syarikat swasta yang menghadapi kesukaran supaya mengekalkan pekerja mereka semasa tempoh kemelesetan ekonomi.

Walaupun pakej kedua ini merupakan langkah yang wajar untuk krisis COVID-19, persoalan timbul mengenai jurang pakej dan jumlah yang sesuai bagi sesetengah langkah yang telah diumumkan. Khususnya, cara terbaik untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro memerlukan idea dan tindakan lebih lanjut, dan saiz subsidi yang agak sederhana mungkin tidak mencukupi untuk mengelakkan pemberhentian para pekerja oleh syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang lemah. Sekiranya krisis kesihatan awam ini masih berterusan dan mengakibatkan tempoh kawalan pergerakan dilanjutkan, pakej rangsangan ekonomi ketiga mungkin diperlukan.

Mengimbau semula disamping mengambil pandangan jauh, Malaysia telah melalui pelbagai krisis ekonomi. Menerusi keazaman, pemikiran yang jelas, penyusunan dasar yang teliti serta menggunakan sepenuhnya pengalaman yang lalu, Malaysia pasti dapat menempuh badai yang luar biasa ini.