Artikel

Dua Minggu Akan Datang Sangat Kritikal

Setelah dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua minggu akan datang adalah sangat kritikal untuk dihadapi.

“Kita melihat trend jumlah kes baharu yang dilaporkan setiap hari, dan dapati jumlah kes harian terus meningkat dan kadang kala mendatar, manakala jumlah kes harian yang didiscaj dari wad meningkat saban hari.

“Data ini menunjukkan kesan daripada aktiviti yang dijalankan oleh KKM dan pelbagai agensi dalam tempoh satu bulan kebelakangan ini.
“Namun begitu, tempoh dua minggu yang seterusnya adalah mustahak, di mana ia akan menentukan samada tindakan yang diambil oleh kerajaan setakat ini memberi impak yang diharapkan.

“Ini sememangnya berkait rapat dengan tingkah laku masyarakat dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini,” kata beliau.

Sebelum ini, beliau pernah ditanya jika PKP sehingga 14 April adalah memadai.

Beliau menjawab isu samada ia memadai atau tidak hanya akan bergantung kepada dua minggu akan datang ini.

Maka keputusan untuk melanjutkan tarikh PKP melewati atau menjangkau lepas 14 April hanya akan dapat ditentukan pada akhir minggu pertama bulan April ini.