Badan berkanun akauntan pengurusan, The Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) telah mengumumkan bahawa mulai bulan Mei 2020, pelajar CIMA boleh mengambil peperiksaan mereka secara atas talian.
Ini susulan pandemik wabak COVID-19 yang memaksa penutupan kesemua pusat peperiksaan di serata dunia, termasuk di Malaysia.
The Association of International Certified Professional Accountants, badan bersatu bagi CIMA dan American Institute of CPAs (AICPA), telah bekerjasama rapat dengan beberapa pihak pemeriksa mereka untuk memastikan proses peperiksaan CIMA boleh diadakan tanpa halangan dan cabaran.
Peperiksaan CIMA adalah proses untuk mentauliahkan mana-mana pelajar menjadi seorang akauntan bertauliah, dan akan dianugerahkan jawatan Chartered Global Management Accountant (CGMA).
Stephen Flatman, Naib Presiden Badan Peperiksaan AICPA menyokong langkah ini.
“Kami berada di situasi yang tidak pernah lagi berlaku, maka tindakan yang betul adalah untuk menutup semua pusat peperiksaan serata dunia, dan memindahkan proses peperiksaan ke alam maya demi memastikan keselamatan pelajar-pelajar kami,” kata Flatman.
Andrew Harding, FCMA, CGMA, Ketua Eksekutif Perakaunan Pengurusan di AICPA menambah bahawa langkah ini adalah untuk kebaikan pelajar CIMA.
“Kami meletakkan ahli-ahli kami, serta pelajar-pelajar kami di tengah-tengah apa yang kami lakukan. Perubahan (kepada proses peperiksaan ini) akan memastikan karier mereka terus dapat didorang dengan kelulusan yang kami berikan,” ujar Harding.