Artikel

Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Oleh DG Noor Hisham, Setakat 30 Mac

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

30 MAC 2020

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 91 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 479 kes (18.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 30 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 156 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,626 kes.

Sehingga kini, seramai 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 62 memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat tiga (3) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 37 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

  • Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara Indonesia. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 4.00 petang.

 

  • Kes kematian ke-36 (kes ke-1941) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun. Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 8.10 pagi.

 

  • Kes kematian ke-37 (kes ke-2471) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun. Beliau telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac 2020 jam 9.02 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

KAPASITI HOSPITAL UNTUK PERSEDIAAN MENAMPUNG PESAKIT COVID-19

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan pelbagai langkah kesiapsiagaan perkhidmatan hospital dalam menangani wabak COVID-19. Sejak Februari 2020, iaitu sebelum
kerajaan menguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020, KKM telahpun mengenalpasti sebanyak 57 hospital saringan dan 26 hospital yang menyediakan rawatan COVID-19. Pada ketika itu, jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 790 kes berbanding
2,626 kes pada hari ini.

Kini, dengan pelbagai usaha, terdapat peningkatan 70 hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 di semua negeri  berbanding 57 sebelum ini. Hospital merawat COVID-19 bertambah daripada 26 ke 38 buah, melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan pihak hospital unversiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya. Tujuh (7) daripada hospital tersebut merupakan hospital khusus untuk rawatan pesakit COVID-19.

Justeru, bilangan katil untuk rawatan COVID-19 telah bertambah kepada 3,994 buah katil. KKM juga sedang merancang menambahkan bilangan katil menerusi pengenalpastian dan pengubahsuaian Institusi Latihan KKM (ILKKM) untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937 buah. Kapasiti ILKKM masih boleh dipertingkatkan lagi jika perlu. Fasiliti lain juga turut dikenalpasti, misalnya Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) berupaya menyediakan 600 katil.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Mengambil kira situasi semasa, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar mengamalkan nasihat-nasihat kesihatan yang telah diberikan oleh pihak KKM. Semua lapisan rakyat Malaysia boleh memainkan peranan dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Bagi individu yang telah diarahkan untuk menjalani “home / self surveillance” pastikan anda mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang telah ditetapkan. Untuk makluman, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah ini merupakan arahan yang termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

KKM ingin menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, anda perlu mengasingkan diri anda daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau orang yang tinggal serumah dengan anda selama 14 hari, 24 jam sehari. Dalam tempoh ini, anda dinasihatkan untuk ambil langkah-langkah pencegahan seperti amalan kebersihan diri yang baik, kerap mencuci tangan dan social distancing (jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter) dari orang lain.

Dalam tempoh 14 hari ini, anda juga diminta memantau diri untuk sebarang gejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas. Sekiranya anda mengalami mana-mana gejala tersebut, SEGERA buat panggilan ke fasiliti kesihatan terdekat dan maklumkan status anda kepada petugas kesihatan di fasiliti kesihatan tersebut. Senarai nombor telefon fasiliti kesihatan boleh didapati di laman sesawang KKM.

Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat.

Orang awam juga boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 Mac 2020 @ 5.00 petang