Artikel

Kini Kawasan Hulu Langat – Selangor Pula Dikenakan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)

Sebelum ini Kerajaan telah memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada dua buah kawasan di Daerah Kluang, Johor.

Kini, kawasan Hulu Langat, Selangor pula dikenakan tindakan PKPD.

Ini susulan jumlah kes yang tinggi di Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor telah mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni.

Seramai 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah akan berada dibawah perintah ini. Ia termasuk tujuh (7) kampung iaitu dua (2) perkampungan Orang Asli dan lima (5) perkampungan Melayu. 

Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac 2020 hingga 13 April 2020.

Tujuan PKPD ini dilaksanakan adalah untuk mengatasi penularan COVID-19 pada kawasan terbabit. Langkah turut memudahkan aktiviti pengesanan dilakukan dari rumah ke rumah sepanjang tempoh PKPD.

Dengan pelaksanaan perintah ini:

  • Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  • Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
  • Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Pihak penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200.