Artikel

Pekebun Sayur Cameron Highlands Gunakan Lazada Untuk Tangani Permintaan Muram Akibat COVID-19

Beberapa laporan media telah menyatakan bahawa pekebun sayur Cameron Highlands hilang jutaan ringgit akibat tidak boleh mengeksport bekalan mereka akibat COVID-19.

Menurut sebuah laporan Sinar Harian, mereka kehilangan sehingga RM1 juta sehari akibat tidak boleh menjual ke pelbagai pasaran seperti ke Singapura.

Pasar Borong Selayang dan beberapa pasar di negara juga telah tutup akibat pengawalan wabak COVID-19.

Disebabkan ini, Lazada telah melancarkan sebuah ‘pasar maya’ di laman web mereka dengan menyediakan bekalan sayur dari Cameron Highlands, khas untuk pelanggan Lazada sedia ada.

Tinjauan Rnggt ke ‘pasar maya’ Lazada ini menunjukkan bahawa harga yang ditetapkan adalah sekitar RM30.

Lazada berkata jika pelanggan membuat tempahan sebelum jam 12 tengah hari, sayur akan dihantar ke rumah keesokkan harinya di antara jam 3 petang hingga 8 malam.

Namun demikian, Lazada buat masa ini telah meletakkan notis ‘penuputan pasar maya ini buat sementara waktu’. Notis ini menyatakan bahawa ‘pasar maya’ ini akan dibuka esok petang.

Cara pekebun sayur menggunakan e-commerce untuk menjual produk mereka terus kepada pelanggan di rumah menunjukkan satu lagi cara bagaimana penggunaan teknologi terus membantu perniagaan kecil dan sederhana terus menjalankan perniagaan mereka walaupun sedang mengharungi keadaan ekonomi yang muram disebalik penularan wabak COVID-19 yang berterusan.