Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah menyatakan bahawa Malaysia akan pastikan bahawa ubat-ubatan yang diperlukan untuk merawat pesakit COVID-19 akan didapatkan.
Ubat Chloroquine, Hydroxychloroquine, dan Lopinavir/ Ritonavir’ telah ada di pasaran dan akan didapatkan oleh KKM.
“Semakan dengan pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM mendapati bahawa ubat ‘Chloroquine’, ‘Hydroxychloroquine’ dan kombinasi ‘Lopinavir/ Ritonavir’ adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Bekalan ubat tersebut telah sedia ada di Malaysia untuk kegunaan rawatan penyakit lain dan boleh digunakan untuk rawatan COVID-19,” kata beliau.
Selain itu, isu mengimportkan ubat yang tiada di Malaysia sedang giat diusahakan.
“Bekalan ubat-ubatan yang memerlukan pengimportan seperti Favipiravir dan Remdesivir akan sentiasa dimudah cara oleh KKM bagi kegunaan rawatan COVID-19,” tambah beliau.
Beberapa hari sebelum ini, Noor Hisham telah memberi satu maklumat di mana Malaysia telah terpilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan ujian klinikal Remdesivir.
Beliau berkata bahawa antara sebab mengapa Malaysia dipilih oleh WHO adalah kerana negara ini mempunyai infrastruktur yang cukup untuk menjalankan, meneliti, dan mengkaji impak rawatan Remdesivir terhadap pesakit COVID-19.
“Bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia telah dipilih oleh World Health Organization (WHO) untuk terlibat dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial – COVID-19’ yang mana ubat kajian tersebut akan digunakan.
“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin,” tambah beliau.
Selain itu, penggunaan ubat yang masih tidak dapat lagi di Malaysia akan memerlukan penggunaan undang-undang sedia ada, bagi memastikan bekalan ubatan baharu ini ada di Malaysia.
“Bagi ubat Favipiravir, KKM sedang mendapatkan ubat tersebut daripada pembekal.
“Dalam situasi pandemik COVID-19 sekarang, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, KKM masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan (KPK), KKM,” tambah beliau.
Oleh itu, KKM akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit