KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA
28 MAC 2020
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 61 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 320 kes.
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 28 Mac 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 159 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,320 kes.
Sehingga kini, seramai 73 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 54 memerlukan bantuan pernafasan.
Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat tiga (3) pertambahan kes kematian baru berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 27 kes.
- Kes kematian ke ke-27 (kes ke-2162 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Tangkak pada 24 Mac 2020 dan kemudian dipindah ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 25 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 10.50 pagi.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.
KEPERLUAN MENJALANI KUARANTIN SECARA SUKARELA BAGI RAKYAT MALAYSIA YANG BARU PULANG DARI LUAR NEGARA
Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan mulai 18 Mac 2020 dan kini dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Perintah ini antara lain meliputi sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara dan bagi yang baru pulang dari luar negara. Bagi mereka yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari.
Sejumlah kes COVID-19 melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara telah direkodkan semenjak kebelakangan ini. Oleh itu, KKM memandang serius kepatuhan rakyat Malaysia dalam mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan. Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab. Pematuhan kepada ketetapan ini adalah amat
penting bagi mengelakkan dari berlakunya penularan jangkitan yang meluas dalam masyarakat.
PEMBERIAN SUMBANGAN ATAU DERMA BERKAITAN COVID19 KEPADA KKM
KKM sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat yang ingin menyalurkan sumbangan atau derma bagi membantu kami menangani pandemik COVID-19 dengan sebaik- baiknya. Sumbangan yang diterima setakat ini tidak hanya terhad kepada bantuan kewangan tetapi juga melibatkan alat-alat kelengkapan perubatan, barangan keperluan di peringkat makmal, bahan pakai buang serta keperluan-keperluan perubatan lain yang berkaitan untuk kegunaan di fasiliti KKM.
Justeru, bagi memudahkan para dermawan yang menyalurkan bantuan, berikut dikemukakan butiran bagi rujukan orang ramai yang berminat untuk menyalurkan sumbangan tersebut:
• Sumbangan dalam bentuk bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun 2-66016-0002347-5 (RHB Bank) atas nama “Sumbangan Perubatan KKM”;
• Sumbangan dalam bentuk barangan atau peranti perubatan boleh berhubung lanjut melalui talian 03-8883 3111 (waktu operasi Isnin-Jumaat, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang) atau melalui e-mel: [email protected]; untuk perhatian Setiausaha Bahagian, Bahagian Perolehan dan Penswastaan, KKM.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM ingin menasihatkan orang ramai agar mengamalkan nasihat-nasihat kesihatan yang telah diberikan oleh pihak KKM. Setiap rakyat Malaysia boleh memainkan peranan dalam menangani penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia. Rakyat Malaysia diseru agar:
1. Berada di rumah.
2. Mengamalkan penjarakkan sosial (social distancing).
3. Kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.
Sekiranya diperlukan khidmat nasihat, orang awam boleh menghubungi virtual health advisory dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10.00 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3.00 petang hingga 3.30 petang yang akan diadakan dari hari Isnin sehingga Jumaat. Orang awam juga boleh menghubungi talian
CPRC Kebangsaan, KKM.
Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
28 Mac 2020 @ 5:00 petang