Dengan pengumuman pusingan kedua pakej rangsangan yang dikenali sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakyat diharap dapat memberi nafas lega.
Namun, adakah inisiatif yang diumumkan dapat memastikan kelangsungan pendapatan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini?
Malah, persoalan yang lebih penting, adakah ia mencukupi untuk rakyat Malaysia melepasi cabaran penularan Covid-19 yang sehingga kini belum lagi menunjukkan tanda-tanda akan berkurangan?
Melihat kepada pembahagian dalam dana pakej tersebut, walaupun RM250 billion diumumkan untuk inisiatif-inisiatif tetapi suntikan dana terus dari Kerajaan adalah sekitar RM22 billion hingga RM25 billion.
Adakah ia mencukupi?
Berdasarkan pandangan pakar ekonomi, buat masa ini, jumlah ini disifatkan bersesuaian untuk rancangan jangka pendek ketika ini.
Ditambah pula dengan penjelasan daripada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, pakej ini bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga yang terkesan dari sudut ‘cash flow’ atau aliran wang.
Dengan kata lain, keutamaan bukan diberi kepada penjimatan secara keseluruhan tetapi penangguhan diberi agar wang yang dimiliki cukup untuk memastikan makanan sentiasa terhidang di atas meja.
Selain itu, pakej ini juga bertujuan untuk memaksimumkan pengekalan
pekerjaan dan mengurangkan gangguan kepada tenaga kerja sebagai persediaan bagi tempoh pemulihan.
Bantuan dan peruntukan tunai juga diberikan kepada golongan
berpendapatan rendah dan juga langkah-langkah lain seperti menangguhkan pembayaran cukai, melanjutkan moratorium pinjaman dan pemberian dana kepada pelbagai sektor bagi memastikan aliran tunai.
Saya berharap agar inisiatif ini dapat meringankan beban bagi mereka yang terkesan teruk dengan penularan Covid-19. Semoga rangkaian jangkitan dapat diputuskan agar kita kembali kepada rutin normal sebelum ini.